Langkawi, 8 Julai 2020 – Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi yang telah dikongsikan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada 31 Mei 2020 yang lalu kini telah mula dilaksanakan dengan inisiatif quick win bagi menghidupkan kembali pembangunan pelancongan di Langkawi. la bertepatan dengan Strategi Promosi Pelancongan yang memfokuskan kepada nilai-nilai baru pelancongan bersesuaian dengan norma baru yang diamalkan di seluruh dunia.

Susulan itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Langkawi Tourism Academy (LTA) telah berjaya melaksanakan satu kursus iaitu Program Retraining and Upskilling of Langkawi Tourism Frontliners di bawah segmen pembangunan industri pelancongan Langkawi. Kursus ini dijadualkan berlangsung mulai 6 hingga 16 Julai 2020 dan ia melibatkan pekerja sektor perhotelan, pemandu pelancong, ejen pelancongan, penyedia perkhidmatan makanan dan beberapa lagi kategori lain. Program ini akan dilaksanakan secara bersiri. Siri pertama sahaja dapat memanfaatkan seramai 80 orang peserta kursus yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan. Pemantapan kemahiran yang ditawarkan dalam kursus ini meliputi bidang penyediaan makanan, perkhidmatan penginapan, asas fotografi dan asas pemasaran.

Objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan kemahiran pemain industri pelancongan di Langkawi supaya sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kepada pelancong dapat ditingkatkan dan pada masa yang sama melebihi ekspektasi pelanggan;
  • 2. Menyediakan platform kepada komuniti di Langkawi yang mempunyai kebergantungan pendapatan kepada sektor pelancongan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan lebih aktif dan serius;
  • 3. Mempelbagaikan sumber pendapatan serta sebagai kaedah untuk menjana ekonomi Pulau Langkawi; dan
  • 4. Menyediakan sumber manusia yang berkemahiran dalam memacu kembali kerancakan sektor pelancongan di Langkawi.

Berdasarkan Laporan Prestasi Pelancongan Malaysia 2019 oleh Tourism Malaysia, nilai perbelanjaan daripada penyediaan perkhidmatan makanan mencecah RM11,457.1 juta atau 1.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan negara telah disumbangkan oleh pelancong di Malaysia pada tahun 2019.

Pemilihan program berbentuk kursus yang memberikan fokus kepada kepelbagaian perkhidmatan makanan ini dilaksanakan setelah mengambil kira faktor sambutan serta keperluan daripada pihak industri sendiri. Selain itu, usahawan yang menghadiri program ini juga dapat menggunakan peluang ini untuk melibatkan diri secara langsung dalam perniagaan atau jualan secara fizikal di samping mengoptimumkan perkhidmatan secara atas talian melalui platform digital seperti Foodpanda, GrabFood dan sebagainya bagi memperluaskan perniagaan mereka.

LADA dengan kolaborasi strategik pemain industri serta semua pihak berkepentingan akan terus berusaha untuk memulihkan industri pelancongan Langkawi untuk kebaikan semua pihak.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
8 Julai 2020

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.