Langkawi, 19 Mei 2020 – Bermula dari 19 hingga 21 Mei 2020, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama strategik Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) dan Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB) akan melaksanakan Program Ramadhan Fi Qalbi 2020. Program ini merupakan salah satu segmen program pembangunan kerohanian atau kebajikan komuniti Langkawi yang dilaksanakan melalui kaedah penyaluran bantuan kepada golongan asnaf. Program ini bertujuan untuk membantu komuniti Langkawi yang memerlukan bantuan bagi meraikan Syawal di samping meringankan beban mereka atas kesulitan yang dihadapi akibat penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara.

Program ini dilaksanakan bagi menggantikan Program Jelajah Ramadhan yang diadakan setiap tahun. la dicadangkan setelah mengambil kira arahan kerajaan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi bagi menjaga kesihatan dan keselamatan semua pihak. LADA juga berjaya mendapatkan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah Cawangan Langkawi bagi menyediakan maklumat lengkap penerima bantuan supaya program ini dapat mencapai sasaran komuniti yang memerlukan.

Secara keseluruhan, sebanyak RM66,400 akan diinfaqkan kepada 332 orang penerima bantuan bulanan zakat dalam bentuk tunai. Penyaluran bantuan tersebut akan dilaksanakan melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT) secara terus oleh pihak LADA yang dijadualkan dari 19 hingga 21 Mei 2020. Selain itu, LADA juga akan memberi bantuan secara serahan tangan kepada 24 orang penerima yang tidak mempunyai akaun bank setelah mendapat kelulusan daripada pihak lbu Pejabat Polis Daerah Langkawi dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Langkawi.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
19 Mei 2020

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit

Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.