Langkawi, 21 Februari 2022 – Sebanyak 10,000 pokok bakau bakal ditanam di pulau ini menjelang Disember 2022. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha yang diketengahkan sempena sambutan ‘World Wetlands Day’ dengan tema ‘Wetlands Action for People and Nature’.

“Pada hari ini sebanyak 150 pokok spesies Bakau Minyak (Rhizophora Apiculata) akan ditanam sebagai langkah permulaan LADA untuk menjayakan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi tempoh 5 tahun mulai tahun 2021 hingga 2025.”

“Selepas ini, LADA akan menjadikan program ini sebagai Program Geomangrove mingguan dengan sasaran penanaman sebanyak 210 pokok bakau setiap minggu sehingga Disember 2022. Tumpuan akan diberikan kepada dua kawasan yang telah dikenal pasti iaitu Kubang Badak BioGeotrail dan Kilim Karst Geoforest Park. Ini merupakan salah satu tanggungjawab LADA untuk terus memantapkan pengurusan dan konservasi Langkawi UNESCO Global Geopark dan mendidik komuniti serta pelancong Langkawi akan kepentingan konservasi alam sekitar,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Dalam kenyataan yang sama, turut dimaklumkan bahawa pihak LADA sedang bekerjasama dengan Langsura Geopark Sdn. Bhd. (LGSB), Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak Berhad dan Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad bagi memperkenalkan pakej pelancongan baru sejajar dengan hasrat Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui inisiatif yang telah diperkenalkan iaitu 1 Tourist 1 Tree (1T1T).

“Pakej ini merupakan nilai tambah kepada pakej sedia ada. Selain dibawa menelusuri sungai untuk menikmati keindahan semula jadi dan kepelbagaian spesies flora dan fauna di sepanjang sungai, pelancong juga akan mendapat pengalaman baru dengan aktiviti penanaman bakau ini. Lebih unik lagi, jumlah pokok yang ditanam oleh pelancong akan direkodkan dalam aplikasi Penghijauan Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia,” tambah beliau.

Dalam pada itu, LADA dengan kerjasama pelbagai pihak akan meneruskan usaha memelihara dan menjaga ekosistem khususnya paya bakau demi kelestarian alam sekitar pulau ini.