Langkawi, 25 April 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) hari ini telah menganjurkan Webinar Geopark Antarabangsa sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia pada 22 April 2022. Webinar ini menampilkan penceramah daripada empat wilayah geopark iaitu Langkawi Malaysia, Khorat Thailand, Indonesia, dan Hong Kong. Penganjurannya telah berjaya menarik penyertaan seramai 240 orang individu dari pelbagai negara Asia, Timur Tengah dan Eropah seperti China, Mesir dan United Kingdom.

Hari Bumi mula diraikan seawal 1970 bagi mengingatkan setiap individu untuk memberi perhatian terhadap cabaran alam sekitar pada zaman ini. Sambutannya juga penting untuk menggalakkan kerajaan dan pihak berkuasa untuk terus melaksanakan pelaburan bijak dalam teknologi lestari dan dasar awam yang bersifat progresif serta mendidik orang awam untuk melindungi bumi.

Ketika pembukaan webinar, YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Hal ini amat penting termasuklah di Langkawi memandangkan pulau ini mempunyai ruang yang terbatas dan sumber-sumber yang terhad. Oleh itu, setiap ahli komunitinya haruslah memainkan peranan masing-masing dalam pengawasan alam sekitar dan promosi kelestarian. LADA dan pelbagai agensi kerajaan lain di Langkawi sentiasa menyokong kuat pelbagai inisiatif untuk memelihara alam semula jadi di pulau ini.

“Walaupun agensi-agensi kerajaan sentiasa memainkan peranan besar dalam menggerakkan usaha pelestarian alam sekitar, tuntasnya perkara ini memerlukan usaha setiap individu untuk keberhasilan yang ketara. Walaupun kelihatan biasa, perubahan kecil yang berterusan dalam kehidupan seharian setiap orang dapat memberi sumbangan besar terhadap kesejahteraan bumi ini. Antara yang boleh dilakukan termasuklah memilih untuk berjalan kaki dan mengurangkan pemanduan kenderaan, menanam pokok, menggunakan kedua-dua belah kertas, mandi dengan lebih ringkas dan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Setiap satu amatlah bernilai dan membawa perubahan besar jika dilaksanakan dalam jangka masa panjang,” tambah beliau lagi.

Sebagai UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara, Langkawi merupakan tuan rumah kepada khazanah alam semula jadi berkepentingan global seperti pelbagai landskap geologi, geotapak dan bentuk bumi yang unik. Pada masa yang sama, ramai pihak termasuklah komuniti tempatan sentiasa giat berusaha memelihara dan mempromosikan pelbagai tarikan warisan geologi ini yang juga merupakan elemen penting dalam pelaksanaan pelancongan lestari di Pulau Langkawi.

Setiap pihak yang terlibat juga perlu bijak dalam membuat keputusan dan bertindak. Persekitaran yang bersih dan indah merupakan aset paling penting yang dimiliki oleh Langkawi, justeru ia perlulah dijaga. Malah, perkara ini juga merupakan antara faktor utama yang mendorong pengunjung untuk memilih pulau ini sebagai destinasi percutian mereka.

Oleh itu, seluruh komuniti Langkawi haruslah berusaha menjaga dan memelihara khazanah yang tersimpan di pulau ini untuk diwariskan pula kepada generasi akan datang. Hal ini demikian kerana perkara ini bukan sahaja merupakan tindakan tepat yang perlu dilaksanakan, malah ia juga menjadi penentu mata pencarian bagi hampir kesemua penduduk di sini.

Webinar itu justeru telah dianjurkan bagi menggalakkan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam menjaga alam sekitar. Sempena sambutan Hari Bumi kali ini, pihak penganjur berharap agar kesemua peserta webinar ini akan terus berdedikasi dalam menjaga keindahan alam semula jadi di geopark masing-masing.