Dubai, 12 Mei 2022 – Arabian Travel Market (ATM) 2022 telah melabuhkan tirai setelah empat hari penganjurannya. Pameran ini disertai oleh kira-kira 1,500 pempamer dari negara-negara Asia, Eropah, Afrika dan Timur Tengah yang mewakili hotel, syarikat penerbangan, agensi serta syarikat perkhidmatan teknologi pelancongan terkemuka dunia.

Mewakili Malaysia bagi penyertaan kali ke-28, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menghantar dua delegasi bagi meneruskan kempen promosi ‘Naturally Langkawi’ yang bertempat di Malaysia Pavilion, Sheikh Saeed Hall 3, Dubai World Trade Centre. Turut serta dalam kempen kali ini adalah 31 pempamer lain dari Malaysia.

Dengan tema ‘The Future of International Travel & Tourism’ serta kemudahan ruang pameran yang 85% lebih besar berbanding tahun lalu, penganjuran kali ini amat dinanti-nantikan oleh semua pemain industri tempatan untuk menjalin kembali hubungan bersama rakan strategik pelancongan setelah dua tahun terjejas akibat COVID-19 yang melanda dunia.

Semoga penyertaan dari Langkawi ini akan membantu mengembalikan kegemilangan serta merancakkan semula sektor ekonomi pulau ini dengan ketibaan pelancong antarabangsa terutamanya dari Timur Tengah.