Langkawi, 19 Mac 2022 – Tunku Temenggong Kedah, YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menasihatkan supaya masyarakat Malaysia dan komuniti Langkawi untuk terus memelihara dan memulihara kelestarian alam.

Menurut beliau, Langkawi merupakan sebuah anugerah yang tidak ternilai keindahannya. Pengiktirafan sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) dan geopark rujukan di rantau Asia Tenggara perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya Langkawi terus mencipta nama di persada antarabangsa.

“Saya berharap program serta kempen kelestarian sebegini akan terus dilaksanakan bukan sahaja oleh pihak kerajaan. Penglibatan NGO dan penduduk setempat juga amatlah penting untuk membuktikan bahawa LUGGp sentiasa memberikan komitmen dalam menjaga tapak warisan geologinya,” kata beliau kepada media semasa melancarkan program pada hari ini.

“Tumpuan perlu diberikan kepada pulau legenda ini supaya usaha mempromosikan Langkawi sebagai destinasi eko pelancongan dunia mendapat sambutan baik, seterusnya menarik kedatangan pelancong bernilai tinggi ke pulau Permata Kedah ini,” tambah beliau.

Dalam program yang sama, YTM Tunku Temenggong turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai penganjur kepada Program Konservasi Geopark Menyantuni Alam 2022: Hello Environment!. Program ini merupakan gandingan kerjasama LADA bersama beberapa agensi di Langkawi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, E-Idaman dan lain-lain.

“LADA dan komuniti Langkawi berbesar hati dengan kehadiran YTM Tunku Temenggong Kedah yang juga merupakan Penaung DiRaja LUGGp kerana sudi mencemar duli bagi melancarkan program konservasi geopark ini. Saya amat gembira kerana hari ini, seramai 150 orang peserta berjaya membuat Kayuhan Santai Alam sejauh 25 km. Laluan yang dipilih adalah kawasan perkampungan dan desa yang mempunyai balai raya untuk dijadikan sebagai hentian serta lokasi Recycle and Redeem (RnR) dan Recycle for Life (R4L) kepada komuniti setempat. Usaha ini diuruskan oleh rakan kolaborasi LADA iaitu pihak E-Idaman,” ulas YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA.

Beliau turut menjelaskan bahawa Program Hello Environment! ini juga mempunyai dua lagi acara utama iaitu Program GeoCoral/Marine bagi konservasi terumbu karang di kawasan Kilim Karst Geoforest Park dan Kubang Badak BioGeotrail yang akan diadakan sebanyak dua kali setahun. Program Ekspedisi Pendakian Gunung juga turut dijadualkan untuk pelaksanaan sebanyak empat kali setahun bagi meningkatkan pengetahuan peserta tentang geosite yang dilawati.

“Kita juga mengambil peluang untuk mengajak semua pihak untuk mencintai alam sekitar dan mengelakkan pencemaran. Dalam mana-mana program kelestarian dan konservasi, LADA tidak menggalakkan penggunaan plastik atau polistirena kerana kesannya amat buruk kepada alam sekitar. Marilah kita berusaha memupuk kesedaran untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau rendah karbon pertama di Malaysia,” kata beliau lagi.

LADA turut menyambut ulang tahunnya yang ke-32 pada 15 Mac baru-baru ini, menjadikan Program Hello Environment! ini sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan yang telah diaturkan. Sebanyak 16 program telah direncanakan untuk berlangsung mulai 15 Mac hingga 31 Mac 2022 dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pemain industri, komuniti, kakitangan LADA serta agensi awam dan swasta.